Tuesday, February 14, 2012

Valentine Day bukan untuk orang Islam

Apa dia Hari Kekasih @ Valentine Day ???

Hari Kekasih Tradisi Penganut Kristian

SETIAP Februari, merentasi benua, pasangan kekasih, suami-isteri dan mereka yang berjiwa romantis akan saling bertukar hadiah, kad ucapan, bunga-bungaan atau makan malam. Tidak kurang berhibur dan menari semalaman di disko dan kelab malam sempena merayakan suatu hari yang dikenali sebagai ‘Saint Valentine’s Day’ atau Hari Kekasih.

Siapakah dia St Valentine dan mengapakah beliau dikaitkan dengan perayaan Hari Kekasih di seluruh dunia ini?Ada pelbagai versi asal asul Hari Kekasih . Pihak gereja Katholik mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga paderi bernama Valentine @ Valentinus yang dikaitkan dengan mitos ini. Ketiga-tiga paderi ini menerima pengakhiran hidup yang sama iaitu mati dibunuh.

Versi pertama menceritakan mengenai St Valentine yang dikatakan sebagai seorang paderi yang berkhidmat dengan kerajaan Rom pada kurun ke-3 Masihi. Maharaja Claudius III mengeluarkan arahan melarang pemuda berkahwin dengan alasan pemuda bujang dapat memberi komitmen, taat setia dan khidmat yang lebih baik sebagai tentera Rom. St Valentine menganggap arahan Maharaja tidak adil. Lalu, secara rahsia terus mengahwinkan pasangan muda-mudi yang bercinta. Apabila kegiatan paderi ini terbongkar, Maharaja Claudius III memerintahkan beliau dihukum bunuh.

Versi kedua pula menyebut bahawa St Valentine dibunuh atas cubaan membebaskan tahanan beragama Kristian daripada kekejaman dan keganasan penjara kerajaan Rom. Sewaktu di penjara, dia bersahabat rapat dengan seorang gadis anak kepada pegawai penjara itu. Sebelum dibunuh, St Valentine menulis surat kepada kekasihnya itu dan menandatanganinya dengan ungkapan From Your Valentine.

Mengapakah 14 Februari dipilih sebagai merayakan perayaan hari memperingati kekasih ini?Tanggal 14 Februari 269 Masihi adalah tarikh St Valentine dijatuhi hukuman mati. Lalu, untuk mengingati dan menghormati dirinya yang dianggap sebagai wira cinta, tokoh yang dikaitkan dengan sifat kasih sayang serta sanggup berkorban demi persahabatan, Pope Gelasius, pada 496 Masihi mengisytiharkan 14 Februari sebagai ‘St Valentine’s Day’.

Sejarah St Valentine telah lama berlalu walaupun masih terus diselubungi misteri. Namun, sesuatu yang pasti, sambutan Hari Kekasih ini berkait rapat dengan tradisi penganut agama Kristian dan kepercayaan masyarakat Rom kuno. Sambutan hari memperingati kekasih tidak ada kena mengena dengan adat resam dan budaya Melayu atau tata susila orang Timur.

Jauh sekali bersumber daripada ajaran agama Islam yang suci. Malangnya, orang Islam pada hari ini, terutama remaja, hatta pasangan suami isteri, begitu ghairah dan tanpa usul periksa membudayakan sambutan Hari Kekasih dalam kehidupan mereka. Keseronokan ini disemarakkan lagi oleh pelbagai pihak yang mengambil kesempatan meraih keuntungan.

Renungi firman Allah bermaksud: “Orang Yahudi dan Nasara (Kristian) tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keadaan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120).


Tarikh 14 Februari sudah pastinya harga bunga ros akan jauh lebih mahal daripada hari-hari biasa. Begitu juga dengan pakej-pakej istimewa yang disediakan oleh kebanyakan restoran dan hotel. Tidak ketinggalan juga radio dan tv menyiarkan rancangan istimewa bersempena dengan Hari Valentine atau Hari Mengingati Kekasih ini. Setiap tahun pada hari ini ramai pasangan kekasih akan meraikannya.

Pada hari ini, bunga ros dan kadang-kadang berserta hadiah seperti coklat akan diberi kepada pasangan masing-masing. Di samping itu ada juga yang pergi makan malam bersama. Paling kurang pun ucapan sayang akan dilafaz atau dinyatakan melalui sms, email atau kad pada tanggal 14 Februari ini. Semua ini adalah untuk menzahirkan perasaan hati kepada pasangan yang disayangi.

Bolehkah hari Valentine diraikan oleh umat Islam?

Apakah hari Valentine itu? Siapakah Valentine sebenarnya? Kenapa ianya dikenali sebagai hari memperingati kekasih? Bila dan bagaimanakah sambutan ini bermula? Kenapa pada 14 Februari? Bolehkah hari Valentine ini disambut oleh umat Islam? Sebenarnya terdapat beberapa cerita tentang hari kekasih ini. Beberapa orang ulama juga telah membuat kenyataan mengenai hukum menyambut hari kekasih ini.

Berikut disenaraikan beberapa penulisan yang berkaitan dengan persoalan di atas;



Catatan Pendita Perayaan Valentine’s Day Atau Hari Kekasih

Al-Islahonline Pandangan Islam Terhadap Hari Valentine

Utusan Malaysia Murtad Sambut Hari Kekasih

Utusan Malaysia Haram Sambut Hari Kekasih

Mutiara Hati Valentine's Day, Apa Pandangan Islam?

Dunia Hatiku Sambutan Yang Mengarut!

Wadah Wanita Islam Usah Terperangkap Jerat Cinta Valentine

Jabatan Mufti Negeri Selangor Hukum Menyambut Valentine's Day

Sesudah membaca penulisan di beberapa laman web di atas, diharapkan persoalan tentang hari Valentine akan terjawab .

Artikel di ambil dari sejarahstpm.blogspot.com