PERNAHKAH
anda kecewa dan hampir putus asa apabila usaha mengurangkan makan dan
kesanggupan berlapar masih tidak berjaya menggerakkan jarum alat
penimbang seperti diharapkan?
Sebenarnya ramai orang di dunia ini berkongsi pengalaman sama dengan anda. Ini antara cabaran yang dilalui semua orang.
Bezanya, ada orang mempunyai keazaman lebih tinggi untuk mencapai cita-cita mereka, walaupun banyak halangan.
Untuk
mengurangkan berat badan, menahan makan saja tidak cukup. Ia perlu
disertai dengan senaman dan minum banyak air iaitu sekurang-kurangnya
enam hingga lapan gelas sehari.
Air adalah elemen penting untuk
membantu meningkatkan metabolisme badan dan mempercepatkan proses
pembuangan lemak, kata Ketua Unit Pengurusan Pemakanan dan Reproduktif
Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Kamarul
Faridah Kamarul Zaman.
Untuk kekal sihat dan bertenaga, setiap
orang perlu minum sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari.
Air penting sebagai bahan ‘pembersih’ kerana ia memudahkan proses
penyingkiran bahan buangan daripada badan.
Namun, ramai keliru
dengan isyarat
‘lapar’ atau
‘dahaga’. Kekeliruan ini menyebabkan ada
orang mencari makanan setiap kali satu daripada isyarat ini diterima
otak. Akibatnya berat badan bertambah tanpa disedari.
Masalah
ini lebih ketara di kalangan orang tua kerana deria rasa mereka menjadi
kurang sensitif. Tidak hairan jika ramai orang tua mengalami masalah
kekurangan air dalam badan.
Bagi individu yang turut mengalami
kekeliruan ini, langkah terbaik ialah minum air setiap kali anda terasa
lapar. Tidak mengapa jika terlebih minum kerana
kesan sampingannya
hanya kita kerap berulang ke tandas.
Jika terlebih makan,
kesannya lebih payah kerana ia merumitkan masalah berat badan
berlebihan yang sedia ada. Jangan tunggu hingga terlalu dahaga untuk
minum kerana ia sebenarnya menandakan badan kita mengalami masalah
kekurangan air (dehidrasi).
Tidak perlu tunggu terasa dahaga
untuk minum kerana badan kita memerlukan kira-kira satu liter air
sehari untuk berfungsi dengan baik.
Usah risau minum banyak air
kerana ia tidak mengandungi kalori. Malah, ia baik untuk buah pinggang
yang bertugas menapis darah dan menyingkir bahan toksik daripada badan.
Bagi
individu yang mahu menurunkan berat badan, minum setiap kali sebelum
makan. Air membuatkan kita terasa cepat kenyang dan ini secara tidak
langsung dapat mengelakkan kita makan banyak.
Bagaimanapun,
jangan sampai tidak makan kerana apabila terlalu lapar kita terdorong
untuk makan lebih banyak melebihi keperluan. Lapar menandakan badan
kita kekurangan glukos dan meningkatkan keinginan untuk makan banyak.
Air
yang dibincangkan di sini ialah air masak atau mineral iaitu air yang
tiada kalori. Pun begitu, ia bukan bermakna anda tidak boleh minum air
manis tetapi ia tidak disarankan bagi individu yang mahu menurunkan
berat badan.
Jus buah juga antara pilihan baik untuk diambil sebelum makan, tetapi pastikan ia tidak ditambah gula bagi memperbaiki rasanya.
Lebih
baik jika serat buah berkenaan dimasukkan bersama kerana ia bukan saja
membuat anda berasa lebih cepat kenyang, bahkan melancarkan proses
penghadaman.
Jus buah mempunyai banyak manfaat kerana ia
mengenyangkan, banyak khasiat dan kaya serat. Kandungan gula
semulajadinya memenuhi keinginan anda untuk minum atau makan makanan
manis.
Malah, makan buah-buahan juga cara terbaik untuk menurunkan berat badan.
Namun,
jangan terlalu gembira jika berat badan turun mendadak walaupun anda
sentiasa dahaga dan kerap buang air kecil kerana ini tanda utama
penyakit kencing manis.
Biasanya pesakit tidak sedar mereka
menghidap kencing manis. Masalah sentiasa dahaga meningkatkan keinginan
untuk minum lebih banyak air manis tanpa menyedari ia hanya memburukkan
keadaan.
Kencing manis berlaku apabila badan mengalami kekurangan insulin untuk menghadamkan glukosa (gula) untuk dihantar kepada sel.
Sel
yang tidak menerima gula akan mati dan ini sebabnya berat badan turun
mendadak. Jadi, jika tiga tanda ini ada pada anda, segera jalani
pemeriksaan kesihatan bagi mengelak penyakit melarat.
Bagaimana
air dapat membantu mengurangkan berat badan? Air tidak mengandungi
kalori, justeru ia boleh diambil dalam kuantiti banyak pada bila-bila
masa. Ia membantu mengurangkan kuantiti kalori yang diambil setiap hari.
Walaupun ia juga tidak mengandungi khasiat, air penting untuk membolehkan badan berfungsi secara normal dan menjaga kesihatan.
Selain
mematuhi jadual makan, mengurangkan jumlah makanan dan minum banyak
air, individu yang mahu menurunkan berat badan mesti bersenam. Tiada
kaedah singkat dan cepat untuk mendapat berat badan seimbang.
Paling
penting ialah kesabaran dan bersenam secara teratur. Tambah waktu
senaman antara 10 hingga 15 minit setiap hari dan tukar rutin senaman
anda. Dua kaedah ini sebenarnya ‘mencabar’ dan meningkatkan kadar
metabolisme untuk membakar lebih banyak kalori.
Penurunan berat
badan melalui senaman dan penjagaan makanan adalah kaedah terbaik.
Prosesnya perlahan, tetapi berat badan yang hilang tidak kembali jika
ia dijadikan amalan sepanjang hayat.
sumber